Tuesday, January 25, 2011
Bulan Madu Dalam Lokap
ALOR SETAR: Baru seminggu bergelar raja sehari, sepasang suami isteri bukan sekadar meringkuk dalam tahanan, malah turut berdepan hukuman mati apabila kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah.
Lelaki 35 tahun dan isterinya berusia 26 tahun, dianggap pasangan ‘sejiwa’ kerana kedua-duanya pernah ditahan beberapa kali atas kesalahan mengedar dadah sejak beberapa tahun lalu sebelum membuat keputusan berkahwin minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, lelaki itu ditahan di Plaza Tol Gurun, kira-kira jam 3 petang Sabtu lalu manakala isterinya ditahan di rumah mereka di Kepala Bukit, Gurun, sejam kemudian pada hari yang sama.
Beliau berkata, sepasukan polis dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menahan lelaki terbabit yang ketika itu menunggang motosikal bersendirian dalam keadaan mencurigakan di plaza tol.
“Hasil pemeriksaan, kami menemui dua plastik lutsinar dipercayai heroin seberat 910 gram bernilai RM30,000 yang disorok di dalam plastik biskut dan diletak dalam raga motosikal Modenas Kriss itu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Susulan penahanan itu, suspek membawa polis ke rumahnya di Kepala Bukit, Gurun dan hasil pemeriksaan menemui sembilan ketulan plastik mampat mengandungi heroin seberat 24.2 gram bernilai RM1,100.
Abdul Ghafar berkata, dadah yang diproses sebegitu kebiasaannya untuk tujuan penyeludupan dan suspek menelannya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Kami masih menyiasat sama ada suspek melakukan taktik penyeludupan demikian yang biasanya dilakukan untuk menyeludup dadah ke dalam penjara,” katanya.
Turut dirampas, tiga telefon bimbit dan motosikal daripada pasangan itu.
Siasatan mendapati bekalan dadah itu diperoleh dari negara jiran dan polis masih menyiasat sama ada suspek menjalankan urusan jual-beli dadah ketika ditahan.
Abdul Ghafar berkata, kedua-dua suspek pernah beberapa kali ditahan akibat kesalahan dadah itu dikenakan tindakan Orang Kena Pengawasan (OKP) mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Sumber : myMetro
p/s : macam ni bukan sehati sejiwa lagi dah. ni dah tahap sehidup semati. romantik bukan..? :)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment